KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Malindo Air perlu melakukan semua penambahbaikan yang diminta oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum Sijil Pengendali Udaranya (AOC) disambung, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya selaku agensi pemantau keselamatan perjalanan udara, DCA perlu memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh syarikat penerbangan yang berkenaan.
“(Dalam isu) syarikat Malindo Air ini, kita melaksanakan audit dari semasa ke semasa. Sekiranya ada masalah keselamatan atau tidak mengikut SOP dan peraturan yang ditetapkan DCA, maka DCA berhak mengeluarkan amaran bagi memastikan mereka mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Saya difahamkan DCA telah mengeluarkan arahan dan Malindo Air perlu kemas kini semua yang ditetapkan (DCA),” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan yang tersebar menerusi media sosial bahawa DCA tidak akan menyambung AOC Malindo Air yang tamat pada 31 Ogos ini setelah jabatan itu menemukan 90 kesalahan dalam pengendalian operasi penerbangan, penyenggaraan pesawat, lesen juruterbang dan keselamatan dalam operasi syarikat penerbangan hibrid tersebut.
Bagaimanapun semalam, Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman dilapor menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya berkata DCA berpuas hati dengan usaha yang diambil oleh Malindo Air untuk menambah baik operasinya.
Mengulas lanjut, Liow berkata beliau yakin Malindo Air dapat mematuhi keperluan DCA sebelum AOCnya tamat pada Ogos ini. – BERNAMA