Kuala Lumpur – Mangsa terakhir daripada tiga pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang parah akibat letupan di pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai, Jalan Klang Lama, 23 Februari lalu, meninggal dunia petang semalam.
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, juruteknik TNB meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, 6.55 petang.
“Allahyarham Mohd Zaidi meninggalkan isteri dan tiga anak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam, 23 Februari lalu, tiga pekerja TNB itu melecur akibat percikan api ketika proses pensuisan dibuat selepas selesai kerja penyelenggaraan.
Dua rakan sekerjanya, Mohd Ruzairi Razali, 34 dan Norizan Abdullah, 59, meninggal dunia pada 25 Februari dan 1 Mac lalu.
Masing-masing di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Prince Court.
“Seluruh warga kerja TNB bersedih atas pemergian ketiga-tiga mangsa. Kami kehilangan permata di kalangan warga kerja yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas,†katanya.
Beliau berkata, selain memberi pertolongan segera kepada semua mangsa terbabit dalam insiden, pengurusan TNB akan terus membantu waris dan keluarga mangsa dalam menangani segala kesusahan dan trauma yang menimpa. – myMetro Online