LANGKAWI – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean‎ (ADMM) ke-9 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini.
Mesyuarat dihadiri rakan sejawatan beliau, Kol (B) Datuk Seri Mohammad Yasmin Umar (Brunei Darussalam); Ken Tea Banh (Kemboja); Jen (B) Ryamizard Ryacudu (Indonesia); Lt Jen Sengnouane Sayalath (Laos); Lt Jen Wai Lwin (Myanmar); Voltaire T Gazmin (Filipina); Dr Ng Eng Hen (Singapura); Jen Prawit Wonsuwon (Thailand) dan Jen Phung Quang Thanh (Vietnam) di samping Setiausaha Agung Asean, Le Luong Minh.
Mesyuarat pegawai kanan dan kumpulan kerja diadakan semalam.
Di akhir mesyuarat itu, kesemua ketua delegasi dijadual menandatangani deklarasi bersama Menteri-Menteri Pertahanan Asean mengenai ‘Mengekalkan Keselamatan dan Kestablian Serantau Bagi dan Oleh Rakyat’.
Hishammuddin, ketika ditemui pemberita semalam berkata, mesyuarat hari ini dijangka mencapai persefahaman dalam menangani kekangan anggota Asean khususnya dalam mendepani ancaman kumpulan militan IS.‎
Beliau berkata, mesyuarat itu akan meneliti kaedah untuk menyatukan pendirian negara anggota dalam sebarang keadaan.
“(Mesyuarat akan membincangkan) cara negara anggota dapat memastikan Asean sebagai sebuah entiti menjadi jambatan untuk menghubungkan kita, sama ada semasa aman atau dalam konteks ketika kita berurusan dengan tragedi atau bencana,” katanya.
ADMM diadakan di sini bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 yang bermula esok. – BERNAMA