Alor Setar – “Saya cuba memujuk supaya dia bertenang kerana bimbang keadaan menjadi lebih parah sekiranya dia terus meronta-ronta semasa kaki kanan tersepit pada besi penutup longkang,†kata Othman Saidin, saksi kejadian seorang kanak-kanak perempuan tersepit pada besi penutup longkang selama hampir sejam di di Taman Aman, dekat sini, semalam.
Othman, 58, berkata, bagaimanapun, mangsa yang berusia 10 tahun mungkin terkejut dikerumuni orang ramai menyebabkan dia terus menangis.
“Saya terus bergegas ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar berhampiran dengan motosikal untuk mendapatkan bantuan,†katanya di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kanak-kanak terbabit turun dari Proton Saga dipandu datuk sebelum kaki termasuk ke dalam besi penutup longkang.
Othman berkata, dia berada di hadapan rumahnya sedang bersiap untuk meracun rumput di sawah yang terletak tidak jauh dari situ sebelum terdengar kanak-kanak itu menangis.
“Sebelum kejadian saya ternampak datuknya memberhentikan kenderaan di tepi jalan, tetapi tidak perasan ada longkang menyebabkan kaki cucunya termasuk ke dalam besi penutup longkang dan gagal dikeluarkan.
“Besi penutup longkang itu sudah lama rosak dan hanya ditutup dengan kayu sebagai tanda, tetapi tidak sangka pula kejadian itu boleh berlaku,†katanya.
Menurutnya, dia bersama anaknya, Mohd Rohizat, 26, cuba memujuk kanak-kanak itu, tetapi tidak berani menarik kaki kanannya keluar dari longkang berkenaan kerana bimbang patah.
Katanya, dia kemudian meminjam alat pemotong untuk memotong besi sementara menunggu pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.
“Kami cuba memotong besi itu, tetapi gagal apabila kanak-kanak terbabit terus meraung sehingga mencetuskan suasana panik.
“Anggota JPAM Kota Setar cuba menenangkan mangsa sebelum bomba membantu mengeluarkan kaki kanan mangsa yang masih tersepit itu,†katanya.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Mahyuddin bersama sebuah jentera bertindak memotong besi penutup longkang itu untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
“Mangsa dihantar ke HSB bagi mendapatkan rawatan,†katanya. – myMetro Online