KOTA BHARU – Mencacatkan catatan pada draf jenayah indeks dikeluarkan polis apabila murid sekolah rendah dikesan terbabit dengan kesalahan memiliki dadah dalam tempoh Januari hingga Mac, tahun ini.
Keadaan itu berbeza berbanding tahun lalu apabila tidak ada seorang pun murid dari sekolah rendah yang terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah dalam tempoh terbabit.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, sejajar dengan itu, di samping membanteras jenayah dalam kalangan masyarakat umum, pihaknya akan memberi lebih tumpuan kepada usaha memerangi jenayah dalam kalangan pelajar sekolah sepanjang, tahun ini.
Katanya, mereka yang berada dalam kelompok remaja dan belia semakin banyak terlibat dengan kes-kes jenayah kekerasan harta benda dan dadah serta memerlukan pemerhatian pihak berkuasa.
“Pelbagai kempen dan program membanteras jenayah kalangan pelajar dan murid akan diadakan contohnya Program Saya Benci Dadah yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, bulan lalu. Program-program seperti akan diperbanyak dan diperhebatkan pada tahun ini.
“Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim sendiri adalah penaung kepada Kelab Bola Sepak Young Worriors negeri Kelantan membuktikan keseriusan dan komitmen polis,†katanya selepas Sambutan Hari Polis Ke-208 Tahun 2015 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, semalam.
Sambutan tahun ini bertema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada†dan seramai 50 anggota dan pegawai menerima surat penghargaan di atas jasa dan khidmat cemerlang mereka.
Dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sejumlah 15 kes bersama 17 tangkapan membabitkan pelajar sekolah menengah dan rendah terbabit dengan gejala dadah dan satu kes dengan dua tangkapan membabitkan pelajar sekolah rendah. Jumlah itu, bagaimanapun lebih rendah berbanding 20 kes bersamaan 21 tangkapan dalam tempoh sama, tahun lalu. – Sinar Harian Online