YOGYAKARTA – Kesal dengan senarai nama menu sebuah restoran masakan tempatan di sini, sebuah badan bukan kerajaan menyeru masyarakat agar membuat bantahan ke atas pemilik premis makanan itu, lapor akhbar Indonesia.
Kedai 24 Jam di Jalan Damai, mukim Ngaglik daerah Sleman di bandar raya ini terkenal dalam kalangan penduduk bukan sahaja kerana keenakan hidangan dijual, malahan nama menu yang mampu membangkitkan selera.
Media melaporkan, antara menu yang pasti rangsang ‘nafsu’ pelanggan khasnya lelaki iaitu Pelacur singkatan daripada Pemusnah Lapar Cukup Rasional, Peniz (Spesial Nasi Soziz) dan Sodomie (Semangkok olahan Indomie).
Kesemua nama makanan itu tidak pun menggambarkan rupa bentuk hidangan, namun ia mengakibatkan ramai teruja ingin tahu dan tidak sabar meratah termasuk antaranya Gigolo (Gerombolan Nasi Goreng Sesuka Lo).
Bimbang senario berbaur lucah yang ditakuti boleh menyebabkan gejala seks bebas, Forum Komunikasi Psikolog Puskesmas se-Kabupaten Sleman membuat protes secara aman, tetapi bukan dengan piket atau boikot ke atas restoran itu.
Sebaliknya organisasi tersebut mengirim mesej kepada penduduk Yogyakarta agar menegur pengusaha premis itu kembali insaf dengan menghantar pesanan berunsur nasihat dan tazkirah agama menerusi pelbagai aplikasi telekomunikasi pintar.
“Assalamualaikum wr wb Bapak Ibu… Mohon bantuannya, untuk bersama2 ber-amar ma’ruf nahi munkar, menyelamatkan anak2 kita semua dari pornografi. Saat ini kami dari Forum Komunikasi Psikolog Puskesmas se-Kabupaten Sleman merasa resah.
Ini ekoran usaha Kedai 24 Jam menggunakan konsep menu ‘vulgar’ setiap nama pada makanan dan minuman yang dijual. Sehingga kami merasa perlu mengkoreksi konsep tersebut. Saat ini kami sedang berupaya hubungi pemilik Kedai 24 Jam.
Salah satunya berada di Jalan Damai, kami desak mereka untuk ubah konsep warung dalam bentuk nama2 menu makanan minuman, serta dekorasi interior-nya, menjadi lebih santun. Kami masih menunggu agar pemilik melakukan perubahan.”
Selain itu, Forum Komunikasi Psikolog juga mengajak penduduk mengirimkan pesanan terus kepada Arismanto, si pemilik Kedai 24 Jam dengan disertakan sekali nombor telefon bimbit pengusahanya dalam mesej akhir organisasi berkenaan.
Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, pemilik premis telah diminta memberi penjelasan mengenai nama menu kepada pihak unit perlindungan wanita polis daerah atau segera ubah jika gagal beri alasan munasabah. – Agensi