SETELAH minggu lalu DAP Sarawak mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) negeri itu atas alasan sekutunya, PAS menyeleweng dari matlamat asal, hari ini DAP Sabah mengikut jejak langkah serupa.
[BERKAITAN: DAP Sarawak Keluar Pakatan Rakyat Sarawak]
Dalam satu kenyataan bersama, DAP dan PKR Sabah mengumumkan bahawa mereka memutuskan hubungan kerjasama dengan parti Islam negeri itu kerana PAS bertegas mahu meneruskan misi mereka melaksanakan Hudud.
Tambah wakil daripada kedua-dua parti, usahasama antara kedua-duanya akan berterusan tanpa kehadiran PAS.
Pada sidang media sama, mereka turut menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin Islam PKR tidak menolak tuntutan Hudud yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran, cuma menolak pelaksanaannya di Malaysia.
Memetik laporan Malaysiakini, kenyataan tersebut ditandatangani oleh Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin dan Pengerusi DAP Sabah Jjimmy Wong.
Kedudukan PAS dalam Pakatan kini dilihat terumbang ambing setelah pemimpin parti sekutu dilihat berterusan menghentam mereka, terutama Lim Guan Eng.
Malah dalam satu kenyataan hari ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak pasti tentang masa depan parti itu bersama Pakatan.
Namun yang terbaharu, menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, PAS mengumumkan untuk terus kekal dalam gabungan tersebut.
Walau bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden PAS Mat Sabu, hubungan parti itu bersama PR tidak dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
“Kami tidak bincang perkara tersebut hari ini dan kami kekal bersama Pakatan Rakyat,” katanya yang turut mencetuskan ‘kontroversi dalaman’ baru-baru ini apabila tersebar rakaman audio mirip suaranya memperkatakan tentang suatu rancangan menjatuhkan Abdul Hadi.
– MYNEWSHUB.CC
DAP Sarawak Umum Keluar Pakatan Rakyat