KUALA LUMPUR – Memadamkan semua lampu yang tidak perlu sempena kempen Earth Hour, esok adalah cara simbolik untuk menunjukkan komitmen bagi menjaga kebajikan planet ini secara umum, kata seorang aktivis alam sekitar.
Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Ang Lai Soon berkata tindakan ini juga akan memastikan bahawa dunia yang akan diwarisi oleh generasi akan datang kurang mengalami kemusnahan akibat pelbagai aktiviti yang dijalankan pada masa kini.
“Inilah yang dimaksudkan tentang Earth Hour – menunjukkan pemimpin kita dalam politik, perdagangan, perniagaan, agama bahawa kita mengambil berat tentang planet dan alam sekitar kita,” kata Ang selaku pengasas dan pesuruhjaya St John Ambulans Sarawak.
Earth Hour bermula hanya sebagai acara memadamkan lampu di Sydney, Australia pada 2007.
Ia sekarang diadakan di seluruh dunia dengan menggalakkan individu, masyarakat dan perniagaan untuk memadamkan semua lampu yang tidak perlu selama sejam, dari pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam pada Sabtu terakhir pada Mac, sebagai simbol komitmen untuk kebaikan planet ini. – BERNAMA