KUALA LUMPUR – Parti DAP mengalami hududophobia yang merupakan sebahagian daripada Islamophobia, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Menurut beliau, hududophobia ialah sebahagian daripada Islamophobia yang sedang melanda masyarakat dunia hari ini.
“Macam-macam lagi alasan menentang pelaksanaan hudud di Kelantan. Apa yang penting ini adalah fenomena hududophobia yang melanda Malaysia sekarang.
“Bagaimana ia akan berakhir? Kita tunggu dan lihat. DAP sudah menyatakan sikapnya. Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih malu-malu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Muhammad Khalil berkata, DAP mengecam hukum hudud dengan alasan ia undang-undang `barbaric’ dan melanggar hak asasi manusia, tetapi menerima hukuman mati di atas kerusi elektrik dan gantung sampai mati.
Katanya, DAP mendakwa isu hudud tidak perlu diberikan keutamaan kerana khuatir pengundi tak akan memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya nanti sedangkan peningkatan keahlian PAS menjangkau 1 juta ahli.
“Ada yang tidak bersetuju dgn hudud kerana masanya tidak sesuai. Soalnya bilakah masa yang sesuai untuk diketengahkan,” katanya. – mynewshub.cc