WANG KELIAN (Perlis) – Setiap Ahad, ribuan rakyat Malaysia dan Thailand akan berjalan kaki melepasi pintu sempadan antarabangsa di sini untuk membeli-belah di pasar sempadan yang istimewa.
Pasar itu dianggap istimewa bukan sahaja kerana kedudukannya di sempadan antarabangsa yang dikelilingi hutan malah rakyat di kedua-dua negara tidak memerlukan dokumen perjalanan bagi melepasi pintu sempadan sama ada untuk ke Wang Kelian atau Wang Prachan.
Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada mereka menikmati lawatan mudah ke negara jiran sambil membeli-belah dan bertemu sanak saudara dari negara yang berbeza.
Kebanyakan rakyat Thailand memilih untuk berbelanja di pasar sehari Wang Kelian yang terletak di sebelah Malaysia manakala rakyat Malaysia memilih untuk membeli-belah di pasar sehari Wang Prachan di sebelah Thailand.
LOKASI MEMBELI-BELAH DAN PERTEMUAN KELUARGA
Walaupun lokasi itu lebih dikenali sebagai “nat” atau pekan sehari namun di situ juga menjadi lokasi pertemuan keluarga dan sanak saudara yang terpisah oleh sempadan antarabangsa bagi menyuburkan silatulrahim.
Dohman Salih, 59, adalah antara ribuan pengunjung ke pasar sempadan itu pada setiap Ahad dan sepertimana kebanyakan pengunjung lain, beliau memilih waktu pagi untuk berada di situ.
Pekebun, yang menetap di daerah Khuandon dalam wilayah Satun itu, jarang membeli-belah di situ tetapi kehadirannya hanya untuk bersarapan di sebuah warung di Wang Prachan sambil berharap akan bertemu sanak saudaranya di Malaysia.
“Saya seronok bertemu adik beradik dari Malaysia serta kawan-kawan. Kadang-kadang kami sama-sama minum pagi di warung,” katanya ketika ditemui di Wang Prachan.
Dohman tetap selesa bertutur bahasa Melayu, sama seperti bahasa pertuturan saudara maranya dan rakan-rakan di Perlis walaupun beliau warga Thailand.
INDAHNYA KEMESRAAN DI SEMPADAN
Bagi Siti Ruwiyah Zubidi, 45, dari Kangar, beliau tidak perlu membuat temu janji untuk bertemu sanak saudaranya di wilayah Satun kerana hampir setiap kali berada di pasar itu, terutama di Wang Kelian, beliau akan bertemu mereka.
“Cukuplah sekadar bertanya khabar pada pertemuan singkat sambil membeli-belah. Sesekali kami berbincang mengenai keluarga,” kata suri rumah itu.
Selain Wang Kelian, kadang-kadang Siti Ruwiyah bertemu sanak saudara dan rakan-rakan ketika berada di Wang Prachan.
Jika ada temu janji daripada sanak saudara di wilayah selatan Thailand itu, beliau akan turut membawa buah tangan untuk mereka walaupun hanya sesikat pisang.
Pastinya ada peristiwa melucukan kerana pernah berlaku sanak saudara yang membuat temu janji turut membawa buah tangan yang juga sesikat pisang untuknya pada pertemuan di pasar sempadan itu.
“Saya bawa pisang awak dari kampung dan depa (mereka) juga hulur pisang awak dari Setoi (Satun),” katanya.
SIMBOL KEAKRABAN PENDUDUK SEMPADAN
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wang Kelian, Zunaidi Abu Bakar mengakui pasar sempadan berusia lebih 20 tahun itu begitu istimewa kerana turut menjadi tempat pertemuan penduduk dua negara.
“Tak perlu bersusah payah untuk bergerak lebih jauh ke Setoi (Satun) untuk jumpa adik beradik. Cukup bila bertemu di sini,” katanya kepada Bernama.
Ia menjadi simbol keakraban hubungan antara Perlis dan Wilayah Satun apatah lagi dengan kelonggaran pergerakan bebas tanpa dokumen bagi jarak satu kilometer dari garis sempadan.
Tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang negara masing-masing akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang melepasi kawasan melebihi satu kilometer radius dari pos kawalan utama Imigresen.
Ini kerana kawasan operasi pasar sehari itu tidak melebihi satu kilometer dari pintu sempadan.
PERGERAKAN PENGUNJUNG TIDAK SEIMBANG
Suatu ketika dulu, antara 30,000 dan 50,000 penduduk dan pelancong mengunjungi pasar yang terletak dalam kawasan hutan simpan Malaysia dan Thailand itu.
Bagaimanapun, selepas langkah drastik kerajaan menarik balik kelonggaran pergerakan bebas di sempadan pada 1 Feb 2008 atas faktor keselamatan, jumlah pengunjung merosot teruk.
Kegiatan perniagaan di pasar itu kembali bernafas selepas kerajaan mengembalikan kelonggaran pergerakan bebas mulai 5 Dis 2008 pada setiap hari antara pukul 8.00 pagi dan 7.00 petang.
Rakyat kedua-dua negara yang mengguna kemudahan pergerakan bebas ini dikehendaki kembali semula ke negara masing-masing pada hari yang sama.
WANG KELIAN DIJENGAH PEMBANGUNAN SEJAK AWAL 80-AN
Lebih 30 tahun lepas, Wang Kelian adalah sebuah kampung tradisional di utara Perlis yang tidak begitu dikenali malah ketika itu tiada kemudahan jalan raya ke kampung itu.
Penduduk yang hendak keluar dari kampung itu perlu melalui denai dan kemudian memasuki sebuah gua, yang membentuk terowong semula jadi sepanjang 370 meter, untuk ke Kaki Bukit, pekan paling hampir dengan kampung itu.
Orang ramai juga jarang menjengah kampung berusia lebih 250 tahun itu kerana kesukaran perhubungan malah waktu paling sesuai untuk berjalan kaki ke kampung itu hanya waktu siang.
Bagaimanapun Wang Kelian mula dijengah pembangunan selepas sebatang jalan raya bertar menghubungkan pekan Kaki Bukit dan Wang Kelian dibina melalui kawasan berbukit pada awal tahun 80-an.
Jalan itu kemudiannya bersatu dengan jalan yang dibina di sebelah Thailand dan atas semangat kerjasama negara berjiran, pintu sempadan darat Malaysia-Thailand dibuka di situ sehingga wujudnya pasar sehari berkenaan. – BERNAMA