SEREMBAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan kesemua 17 pasar tani kekal di seluruh negara akan mula beroperasi awal tahun hadapan.
Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata Fama sedang dalam peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan untuk merancang dan membina bangunan.
“Sudah dapat kelulusan barulah kita keluarkan tender untuk membina bangunan di pasar tani kekal yang mengambil masa paling kurang tujuh bulan untuk siap.
“Sebanyak RM34 juta diperuntukkan untuk membina bangunan dan kemudahan di pasar tani kekal yang boleh memuatkan seramai 120 usahawan Fama dalam satu-satu masa,” katanya selepas Majlis Taklimat Jualan Turun Harga Kepada Usahawan Tani Peringkat Negeri Sembilan dan Melaka di sini Rabu.
Badruddin berkata pasar tani kekal ini akan beroperasi dari pagi hingga malam.
Di negeri ini, sebuah pasar tani kekal akan dibina di Bandar Seri Jempol.
Badruddin turut memohon kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menyediakan tapak yang bersesuaian agar lebih banyak pasar tani kekal dapat dibina.
“Tanah merupakan urusan kerajaan negeri, kami berharap kerajaan negeri dapat memberikan tapak yang bersesuaian kerana lokasi pasar tani kekal itu penting untuk memudahkan pelanggan datang.
“Kita juga nak pasar tani kekal wujud di semua daerah agar tiada kekurangan bekalan dan kemungkinan harga naik disebabkan kurangnya bekalan dan tekanan orang tengah,” katanya.
Sementara itu, Badruddin berkata majlis taklimat ini diadakan untuk mendengar sendiri masalah dan keperluan usahawan Fama di seluruh negara disamping berkongsi petua untuk para usahawan ini berjaya. – BERNAMA