SERI MANJUNG – Polis menahan 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam ‘Ops Sapu’ di kawasan perumahan Kampung Sri Acheh di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata tangkapan itu hasil pemeriksaan ke atas 206 pendatang asing dalam operasi bersepadu yang bermula pukul 1 pagi.
“PATI berkenaan terdiri daripada 47 lelaki warga Myanmar, 40 lelaki warga Bangladesh, 22 lelaki warga India, 21 lelaki warga Nepal, dua lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga Vietnam,” katanya.
Beliau berkata kesemua PATI yang ditangkap berumur antara 25 dan 50 tahun.
“Kita akan serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tengku Mohd Zailan berkata kesemua PATI ditahan kerana tanpa dokumen perjalanan sah, dokumen perjalanan tamat tempoh dan menetap melebihi masa yang dibenarkan.
Operasi bersepadu disertai 65 anggota dan pegawai itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Lumut serta Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.
“Operasi dibuat berdasarkan laporan yang diterima daripada masyarakat setempat yang mendakwa kawasan perumahan mereka sering didatangi pendatang asing,” katanya. – BERNAMA