BAGHDAD – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) hari ini mengutuk kemusnahan terhadap kota purba Hatra di Iraq yang dilakukan oleh Kumpulan Islam (IS).
“Kemusnahan Hatra sebagai tanda bermulanya pembersihan budaya yang sedang berlaku di Iraq,” kata Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova.
“Sumber pegawai melaporkan kemusnahan yang sedang menimpa ke atas Kota Warisan Dunia Hatra,” kata UNESCO dalam satu kenyataan.
Hatra dipulihara dengan rapi sebagai kota prasejarah Roman kerana ia mengandungi campuran pembinaan dan seni arkitek yang berbeza dan jarang didapati di dunia.
Ia terletak di kawasan gurun padang pasir kira-kira 100 kilometer di barat daya Mosul yang dikuasai IS.
Dilaporkan pemusnahan yang berlaku di Hatra adalah dua hari selepas kerajaan Iraq melaporkan IS membawa jentolak ke atas Nimrud, satu lagi kota purba di Wilayah Nineveh.
Kota itu diasaskan pada kurun ke-13 Masehi dan dianggap sebagai satu kota tumpuan ketika era Empayar Assyria.
Pemusnahan Nimrud dilakukan sebaik kumpulan IS mengeluarkan video minggu lalu yang menunjukkan anggota militan memecah dan menghancurkan artifak purba di Muzium Mosul. – AFP
https://www.youtube.com/watch?v=6VlYW8BJ9Yg