KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memberi amaran kepada DAP tindakan parti itu memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama seperti memutuskan hubungan dengan PAS.
Ketua DPPM, Suhaizan Kayat berkata, adalah mustahil untuk PAS terus bersama Pakatan Rakyat sekiranya DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi yang merupakan Presiden PAS seperti diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam.
“Abdul Hadi adalah sayap utama menjaga kepentingan pemimpin dan ahli PAS. Bagaimana PAS boleh kuat bersama Pakatan Rakyat tanpa Presiden kami?
“Memutuskan hubungan dengan Presiden PAS adalah umpama memutuskan hubungan dengan PAS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru, kata Suhaizan, beliau sangat kecewa dengan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS.
Media semalam melaporkan DAP mengumumkan parti itu memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana tidak lagi dapat dapat bekerjasama dengan presiden PAS yang disifatkan “tidak jujurâ€Â.
Guan Eng dipetik berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada malam tadi.
Katanya, parti itu sedar bahawa keputusan berkenaan akan meletakkan Pakatan Rakyat dalam keadaan terumbang-ambing.
“DAP tidak dapat bekerjsama dengan seorang presiden PAS seperti Hadi Awang yang tersebut bertindak dengan tidak jujur dan tidak bermaruah seperti ini,” kata Guan Eng.
– MYNEWSHUB.CC