KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan sikap pemuda DAP (Dapsy) kerana sanggup memutuskan kerjasama politik hanya kerana isu hudud.
Ketua DPPM, Suhaizan Kayat berkata, Dapsy tidak wajar mengambil tindakan terburu-buru kerana perbezaan dalam politik adalah sesuatu perkara yang lumrah.
“Mari kita melihat kerangka besar dalam pakatan rakyat, Jangan kerana perbezaan 10 peratus kita menafikan 90 peratus persamaan dalam pakatan rakyat.
“Lebih penting sebagai generasi muda adalah bagaimana kita sama-sama menguruskan perbezaan ini untuk masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mynewshub.cc semalam melaporkan tanda-tanda pakatan rakyat bakal berkubur semakin jelas apabila Dapsy mengumumkan segala bentuk kerjasama dengan DPPM dibekukan.
Ketua Dapsy, Teo Kok Seong dipetik berkata, perkara itu ditetapkan secara konsensus oleh Majlis Eksekutif Pemuda Dapsy yang mengumumkan pembekuan kerjasama itu akan dilaksanakan di setiap peringkat.
Ia ekoran langkah PAS Kelantan membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dilihat membelakangkan perjanjian bersama dicapai PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan lalu.
DAP sebelum ini berulang-ulang kali memberi amaran akan memutuskan kerjasama dengan PAS dan meminta PAS meninggal pakatan rakyat jika meneruskan pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. – mynewshub.cc