KUALA LUMPUR – Unjuran negatif oleh agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings, terhadap prospek ekonomi Malaysia, tidak menggambarkan asas ekonomi negara yang sebenar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata pada asasnya, ekonomi dan struktur kewangan negara kekal kukuh meskipun terdapat beberapa persepsi negatif.
Kerajaan akan terus berhubung dengan agensi penarafan berkenaan untuk memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat, katanya.
“Tugas kita adalah untuk memastikan ekonomi terus mantap dan struktur kewangan kita terus kukuh dan berasaskan kepada struktur ekonomi yang berdaya saing,” katanya.
Wahid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan hadiah kepada majikan terbaik pada majlis Aon Hewitt Best Employers – Malaysia 2015, di sini hari ini. – BERNAMA