BAGAN SERAI – Seorang lelaki gempal bergigi rongak serta berkopiah, dipercayai mendalangi beberapa kegiatan samun dengan menyamar sebagai pegawai kerajaan dan mensasar wanita serta warga emas yang tinggal bersendirian di pedalaman daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya sudah menerima beberapa laporan mengenai kes samun barang kemas dan wang tunai berjumlah puluhan ribu ringgit sejak awal tahun ini.
Menurutnya, penjenayah terbabit mensasar rumah kampung di kawasan terpencil, terutama didiami warga emas atau wanita dan berpura-pura kononnya kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal yang mahu menguruskan permohonan bantuan.
‘“Selepas mangsa terpedaya, mangsa diarah menanggalkan barang kemas yang dipakai untuk mengambil gambar sebelum suspek pura-pura dahaga dan menyuruh mangsa mengambil air sementara suspek mengisi borang permohonan mangsa.
“Ketika mangsa menyediakan minuman, suspek melarikan diri dengan barang kemas, wang tunai dan barangan berharga lain,†katanya di sini semalam.
Omar Bakhtiar berkata, suspek dipercayai berbadan gempal, berpakaian kemas, berkopiah, bergigi rongak di depan dan bermotosikal serta berusia antara 30 hingga 40-an.
“Kejadian ini banyak terjadi di kawasan kampung dan rumah terpencil dengan mangsanya ialah warga emas dan wanita.
“Polis memandang serius kes ini dan meminta kerjasama orang ramai untuk segera menghubungi Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian, Inspektor Marzuki Mat di talian 013-911 6222 jika mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan,†katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihat lebih berhati-hati jika didatangi individu tidak dikenali mendakwa sebagai pegawai kerajaan dan mereka boleh merujuk dengan pihak berkuasa sekiranya mencurigai individu terbabit.
– myMetro Online