KUALA PILAH – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diberikan laporan bersih oleh juruaudit bagi penyata kewangan berauditnya bagi tahun 2010-2014 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata SSM telah menganalisis penyata kewangan 1MDB yang diserah simpan dengan SSM.
“Sehingga hari ini, tiada pelaporan oleh juruaudit 1MDB kepada SSM di bawah Seksyen 174 (8A) Akta Syarikat berhubung kesalahan serius seperti ‘penipuan dan penyelewengan’ ditemui sewaktu proses audit dijalankan terhadap 1MDB,” katanya dalam kenyataan media selepas merasmikan majlis penutup program Santai Anak Kampung Tengkek di Hutan Lipur Jeram Tengkek dekat sini, hari ini.
Katanya adalah satu kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 terhadap juruaudit jika juruaudit gagal melaporkan sebarang kesalahan serius kepada SSM yang membawa hukuman penjara 7 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Hasan berkata peruntukan Akta Syarikat berhubung penyerahsimpanan penyata tahunan dan penyata kewangan juga telah dipatuhi.
Oleh itu, katanya, penyalahgunaan dana 1MDB adalah satu dakwaan semata-mata dan telah pun dinafikan oleh pihak-pihak berkaitan termasuk 1MDB dan Petro Saudi Limited. – BERNAMA