KIRA-kira 80 pemandu teksi berdaftar dari Kuala Lumpur dan Selangor membantah tindakan kabinet yang memutuskan untuk menangguhkan kenaikan kadar tambang baharu teksi.
Menurut Pengerusi Persatuan Transformasi Teksi Malaysia (PERSIM), Kamaruddin Mohd Hussin, pemandu teksi juga memerlukan pembelaan seperti mana rakyat Malaysia yang lain.
“Saya berpendapat sebenarnya kadar kenaikan tambang ini perlu dikekalkan. Hampir enam tahun kami terpaksa tanggung kos peningkatan harga barang, kos operasi, penyelenggaraan dan sara hidup pada kadar tahun 2009 sedangkan kalau kita tanya balik pada pekerja-pekerja rakyat Malaysia lain di luar situ – berapa peratus atau berapa kali mereka naik gaji atau pendapatan meningkat sejak 2009 berbanding dengan kami.
“Mereka juga membantah kata kenaikan tambang teksi membebankan rakyat. Kami pemandu teksi ini bukan rakyat Malaysia ke? Kami juga perlukan pembelaan.
“Kita juga rakyat Malaysia walaupun kita kecil. Kita juga ada kebajikan yang perlu dipertahankan. Kita punya servis hanya pada orang yang perlukan servis sahaja, bukan terkesan pada semua orang.
“Kita ada sebab kukuh untuk pertahankan kenaikan tambang ini.  Kita sudahpun menukar kadar tambang baru dekat meter dan bayar PUSPAKOM antara RM100 hingga RM161.  Sekiranya benda ini kabinet tangguh, siapa nak tukar balik meter dan kepada siapa kami boleh buat tuntutan,” katanya memetik Agenda Daily.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sudah meluluskan kenaikan harga tambang teksi baharu seperti mana yang diumumkan baru-baru ini.
Namun, kabinet menangguhkan sementara pelaksanaan tersebut memandangkan bulan April ini GST akan mula dilaksanakan seperti mana yang telah direncanakan sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=vteZ6klkYcU