KUALA LUMPUR – Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mendakwa Kod Syariah Jenayah II 1993 (undang-undang Hudud) tidak sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Proham, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari berkata, undang-undang Hudud adalah `ultra vires’ dan tidak sah di bawah Perkara 4 dan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.
“Undang-undang Hudud melanggar Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan dan tanpa diskriminasi.
“Proham menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen menjunjung dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kuthubul berkata, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Persekutuan dan Perkara 4 memperuntukkan mana-mana undang-undang yang diluluskan selepas Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan terbatal.
Katanya, Perkara pula 75 memperuntukkan jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan undang-undang persekutuan, undang-undang persekutuan akan diguna pakai dan undang-undang negeri itu terbatal.
“Undang-undang Ketenteraman Awam, Undang-undang Jenayah dan Penciptaan Kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan termasuk dalam Senarai Pertama Jadual Kesembilan dan dengan itu sama sekali dalam bidang kuasa Parlimen. DUN tidak boleh meluluskan undang-undang tersebut,” katanya. – MYNEWSHUB.cc