SEBUAH pesawat AirAsia X dari Sydney ke Kuala Lumpur dilaporkan membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Melbourne selepas mengalami masalah teknikal.
Pesawat yang berlepas dari Sydney pada waktu tengahari itu dilaporkan telah selamat mendarat di Melbourne pada jam 2 petang waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia).
Jurucakap Perkhidmatan Udara Australia memaklumkan, juruterbang pesawat berkenaan membuat keputusan untuk mendaratkan pesawat XAX223 itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut laporan ABC Online, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Penerbangan Awam Australia menyatakan sistem navigasi dan paparan peta pesawat berkenaan gagal berfungsi.
Dalam perkembangan lain, ramai penumpang dilaporkan tidak sihat dan mengalami muntah-muntah setibanya pesawat di Melbourne.
Para penumpang tidak dibenarkan meninggalkan pesawat berkenaan semasa pemerikaan teknikal dijalankan.
Setelah tiga jam tertunda akhirnya pesawat AirAsia X itu berlepas ke Kuala Lumpur pada jam 5.15 petang (2.15 petang waktu Malaysia).
– MYNEWSHUB.CC