SEBUAH pesawat British Airways dilaporkan terpaksa berpatah balik gara-gara bau busuk yang kurang menyenangkan dari tandas dalam kabin.
Pesawat yang dalam penerbangan ke Dubai itu terpaksa berpatah balik ke London kira-kira 30 minit selepas pesawat berlepas.
Difahamkan, penyelesaian tersebut diambil selepas masalah bau busuk yang mengganggu para penumpang dalam pesawat itu gagal diselesaikan oleh kru kabin.
Sementara itu, seorang penumpang mendakwa penerbangan itu ditunda selama 15 jam.
Anggota majlis perbandaran di Hertfordshire, Coun Sachdev dalam statusnya di Twitter menulis: “Gila! Penerbangan British Airways yang dinaiki kami untuk ke Dubai terpaksa berpatah balik ke Heathrow kerana bau busuk dalam tandas. 15 jam lagi untuk penerbangan berikutnya..”
Menerusi laporan Mail Online, Coun Sachdev berkata para penumpang dimaklumkan pesawat terpaksa berpatah balik ke London atas sebab kesihatan dan keselamatan.
“Juruterbang memberitahu ianya langsung tiada kaitan dengan masalah teknikal,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap British Airways telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada para pelanggan atas kesulitan yang berlaku.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi para pelanggan. Kami menyediakan mereka kemudahan penginapan di hotel dan telah menggantikan penerbangan lain pada hari berikutanya dengan pesawat lain,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=IQUfJlABIEg