KUALA LUMPUR – Penganjur dan peserta #KitaLawan harus dibebaskan kerana perhimpunan itu berlangsung dengan aman, dakwa Setiausaha Pemuda DAP, Tan Hong Pin.
Dakwa Hong Pin, Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh digunakan untuk menahan mereka kerana perhimpunan #KitaLawan berjalan lancar dan berakhir dengan baik.
“Saya menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membebaskan segera Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua AMK Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Hong Pin mendakwa, beliau yang turut menghadiri #KitaLawan mendapati campur tangan polis dalam perhimpunan itu sangat minima dan tiada gas pemedih mata, meriam air.
Malah, katanya, kehadiran pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) secara besar-besaran seperti yang biasa dilakukan pihak polis ke atas perhimpunan seperti itu juga tidak berlaku semalam.
“Perhimpunan awam adalah penting supaya suara rakyat dapat didengar dan ia merupakan saluran ‘feedback’ yang berkesan kepada pihak pentadbir dan kerajaan,” dakwanya.
- MYNEWSHUB.CC