KUALA LUMPUR – Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengesahkan insiden runtuhan siling di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini, hari ini.
Pengurus Kanan Prasarana (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Azhar Ghazali berkata dalam kejadian 2.10 petang itu, struktur siling di Platform 1 bagi laluan menghala ke Kelana Jaya, dipercayai runtuh secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, katanya operasi perjalanan pengguna LRT kembali pulih seperti biasa selepas itu.
“Tiada penumpang ketika kejadian itu. Punca kejadian masih disiasat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azhar berkata kerja-kerja pembersihan di kawasan runtuhan siling itu selesai kira-kira 4.45 petang tadi.
– BERNAMA