KANGAR – Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mahu rakyat Perlis mengubah minda menjadi insan yang cintakan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Melalui perubahan minda itu, hasrat kerajaan negeri menjadikan Perlis negeri yang bersih dan indah akan tercapai, katanya ketika merasmikan gotong-royong anjuran bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dan Jabatan Sisa Pepejal Negeri di padang MPK di sini, hari ini.
Program itu bertemakan ‘Negeri Bersih Rakyat Sihat’ turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Mat Hassan, Yang Dipertua MPK Ahmad Hussain dan Rektor UiTM Perlis Datuk Prof Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman.
Azlan berkata program kebersihan yang dilaksanakan tidak akan mencapai matlamat, sebaliknya kejadian vandalisme, kekotoran dan pembuangan sampah tidak dapat dikawal tanpa didahului dengan perubahan minda.
Katanya program gotong-royong itu yang disertai 250 pelajar UiTM Perlis diharap membuka minda masyarakat umum di Perlis untuk bersama-sama memelihara kebersihan. – BERNAMA