Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Kaji Tindakan Undang-Undang Kepada...

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan...

“Phuc Dat Bich” Akhirnya...

SEORANG pengguna Facebook mengakui pada Rabu lalu bahawa beliau sebenarnya menipu berkenaan kiriman...

Perlis Tidak Terjejas Dengan...

KANGAR - Perlis tidak terkesan dengan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri...

Gadis Mahir Baiki Kereta...

SEJAK videonya membaiki brek kereta tular beberapa hari lalu, nama Nor Sakira Awee...

Rang Undang-Undang Hudud Kembali Ke Sidang DUN Kelantan

KOTA BAHARU – Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993, atau lebih dikenali sebagai rang undang-undang hudud, yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lebih 20 tahun, akhirnya kembali ke persidangan dewan Isnin ini.

Rang undang-undang yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan dan ia telah ditambah baik dengan beberapa peruntukan dipinda.

Penambahbaikan dan beberapa pindaan yang dilakukan ke atas rang undang-undang itu berdasarkan pandangan dan teguran pelbagai pihak termasuk kalangan pakar undang-undang, ahli politik dan badan bukan kerajaan.

Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata antara pindaan yang dibuat ialah enakmen berkenaan hanya terpakai kepada orang Islam berbanding sebelum ini, iaitu orang bukan Islam diberi pilihan untuk diadili mengikut enakmen berkenaan atau undang-undang sivil.

“Dengan pindaan ini, kanun jenayah ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukalaf bagi apa-apa kesalahan di bawah kanun ini,” kata Takiyuddin yang juga Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri Kelantan.

Takiyuddin, yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata kini orang bukan Islam tidak lagi perlu bimbang dengan pelaksanaan enakmen ini kerana tidak melibatkan mereka.

Pindaan itu juga akan turut memperkemaskan hukuman yang membabitkan kesalahan liwat dan zina manakala pindaan lain melibatkan perkara teknikal, katannya yang juga seorang pengamal undang-undang.

Menurut beliau, PAS Kelantan mengakui UMNO telah memberikan sokongan sepenuhnya bagi pelaksanaan kanun jenayah syariah itu di negeri ini termasuk ketika enakmen itu diluluskan DUN berkenaan pada 25 Nov 1993.

Katanya, dengan penubuhan jawatankuasa teknikal bersama negeri dan persekutuan bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, ia dilihat perkembangan positif ke arah usaha melaksanakan undang-undang Islam itu.


Takiyuddin berkata bagi mengatasi halangan perundangan yang menyebabkan enakmen itu tidak dapat diwarta dan dilaksanakan hingga sekarang, dua perkara perlu dibawa ke Parlimen untuk dibuat pindaan iaitu Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya salah seorang anggota Parlimen PAS akan membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada negeri melaksanakan kanun jenayah syariah itu manakala kerajaan persekutuan akan membawa pindaan kepada Akta 355 Akta Mahkamah Syariah tersebut yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah syariah.

Pihak PAS belum memutuskan tarikh rang undang-undang persendirian itu akan dibentangkan di Parlimen dan beliau juga tidak mengetahui bila masanya kerajaan persekutuan akan membawa ke Parlimen pindaan Akta 355, katanya.

Beliau bagaimanapun berharap kesemua 132 anggota Parlimen yang beragama Islam akan menyokong kedua-dua pindaan itu pada persidangan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun usaha kerajaan PAS untuk melaksanakan hukum hudud telah mendapat tentangan daripada sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu DAP.

Baru-baru ini, anggota Parlimen DAP kawasan Puchong Gobind Singh Deo memberi amaran kepada PAS bahawa parti itu tidak akan dilihat sebagai sebahagian daripada pakatan pembangkang jika tetap berkeras membentangkan rang undang-undang berkaitan hudud di DUN Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula memberi amaran kepada DAP supaya berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan menentang usaha PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

Beliau berkata kerajaan Kelantan tidak akan tunduk dengan desakan DAP malah bersemangat untuk melaksanakan undang-undang berkenaan. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori