KUALA LUMPUR – Pos Malaysia akan mengeluarkan sampul surat peringatan khas sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi Ke-13 (LIMA) 2015.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata, sampur surat berkenaan akan dijual kepada orang ramai mulai 17 Mac 2015.
“Sebanyak 50,000 keping sampul surat peringatan khas yang memaparkan aksi pertunjukan udara akan dijual pada harga RM2.50 untuk tempoh yang terhad iaitu dari 17 hingga 21 Mac 2015.
“Pakej sampul surat peringatan khas ini merangkumi setempra-cetak bernilai RM2 yang memaparkan elemen aset maritim dan aeroangkasa seperti kapal laut, helikopter, jet pejuang serta pesawat komersial,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azlan berkata, Pos Malaysia akan menggunakan cap pos khas LIMA 2015 pada 17 Mac ini bagi setiap penghantaran menggunakan sampul surat berkenaan. – mynewshub.cc