KUALA LUMPUR – “Saya tidak akan meminta maaf kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” tegas Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari.
Menurutnya, beliau tegas dengan pendiriannya bahawa Abdul Hadi telah melakukan banyak pengkhianatan ke atas Pakatan Rakyat dengan harapan untuk memecahbelahkan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, Presiden PAS turut mengkhianati 52 peratus pengundi yang memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tiada masa depan jika Abdul hadi terus mengetuai PAS. Hipotesis ini berdasarkan banyak tindak tanduk pengkhianatan beliau termasuk dalam isu jawatan Menteri Besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zairil berkata, pengkhiatan Abdul Hadi juga terbukti apabila sebanyak sebanyak enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen menyaksikan pertandingan sesama sendiri antara PAS dan PKR disebabkan Presiden PAS menyebabkan ia dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).
Beliau turut mendakwa, surat bantahan oleh PAS Pusat ke atas kenyataannya berhubung Abdul Hadi ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bukan Presiden PAS.
“Saya tidak pernah memohon maaf kepada Abdul Hadi saya kekal dengan kenyataan saya berhubung Presiden PAS itu,” katanya.
- MYNEWSHB.CC