DENVER – Polis menahan remaja perempuan berusia 12 tahun kerana disyaki cuba membunuh ibunya menggunakan cecair peluntur semata-mata untuk mendapatkan semula iPhone miliknya, demikian lapor pihak berkuasa pada Jumaat.
Jurucakap polis Heidi Prentup berkata, ibu suspek terminum cecair peluntur tersebut pada cubaan bunuh keduanya dalam tempoh seminggu, bulan ini.
Katanya, gadis remaja yang berang dengan perbuatan ibunya mengambil iPhone tersebut mencampurkan bahan peluntur ke dalam minuman waktu sarapan yang disediakan untuk ibunya buat kali pertama, pada 2 Mac.
“Ibunya menyedari bau peluntur di dalam minuman itu, bagaimanapun dia hanya menganggap anaknya tidak membersihkan gelas itu dengan betul,” kata polis.
Akibatnya wanita yang dirahsiakan identiti itu terpaksa dirawat di sebuah hospital tempatan sebelum dibenarkan pulang.
Empat hari kemudian, gadis tersebut didakwa mencampurkan lagi peluntur ke dalam minuman ibunya yang disimpan di dalam bilik tidur. Ibunya curiga apabila terhidu bau peluntur lalu membuat keputusan untuk berdepan dengan anaknya.
“Ketika inilah ibunya mengetahui apabila anak gadisnya merancang untuk membunuhnya selepas telefon bimbitnya diambil,” kata polis.
Prentup berkata, wanita tersebut membuat laporan polis dan penahanan terhadap anaknya dilakukan setelah mendapati kesemua bukti mencukupi.
Gadis itu dibawa ke pusat tahanan juvana sementara menunggu untuk didakwa kerana cubaan membunuh.
– mStar Online