KUALA LUMPUR – Sikap tidak mengendahkan maklumat sahih berkenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya akan menyebabkan seseorang itu mudah tertipu apabila cukai itu dilaksanakan kelak.
Kurang dari sebulan pelaksanaan GST bermula 1 April ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan berpendapat tahap kefahaman masyarakat mengenai GST dilihat masih rendah meskipun pelbagai program penerangan berhubung pelaksanaan cukai itu dilaksanakan.
Beliau berkata pihaknya mengganggarkan hanya empat daripada 10 individu sahaja yang memahami peranan GST secara jelas, dan selebihnya masih keliru dan kurang peka.
“Bukan mereka tidak tahu, tetapi mereka tidak mahu ambil tahu. Ia seakan budaya dalam masyarakat kita untuk menolak sesuatu yang tidak disukai dan meletakkan diri dalam keadaan tidak tahu, sedangkan banyak maklumat GST yang boleh didapati”, katanya ketika dihubungi Bernama.
Justeru beliau berharap masyarakat mengubah sikap tersebut supaya tidak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memanipulasi maklumat cukai itu.
Nadzim berkata PPIM turut mempunyai kumpulan ahli yang bertanggungjawab memantau harga barang apabila GST dilaksanakan kelak bagi mengekang sikap peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Dalam pada itu, Pegawai Penerangan GST Abdul Halim Tuah Rahmat berkata kerajaan menggunakan lima kaedah dalam setiap sesi jelajah penerangan mengenai cukai itu sejak tahun lepas.
Lima kaedah itu adalah media alternatif seperti cetakan maklumat pada bunting, bersemuka melalui ceramah, media cetak, media digital dan media elektronik, katanya.
Abdul Halim Tuah berkata, kerajaan secara pro-aktif akan memberi penerangan mengenai GST kepada masyarakat secara berterusan.
Sementara itu, Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Subromaniam Tholasy berkata setakat 28 Feb lalu, 345,376 syarikat telah berdaftar.
“Mengenai persediaan melaksanakan GST, jabatan ini sedang bekerja keras bagi memastikan peralihan kepada rejim percukaian baharu tersebut berjalan lancar.
“Sistem sudah siap, namun kebimbangan utama saya ialah persediaan perniagaan kerana kegagalan memahami garis panduan GST akan menyebabkan mereka menghadapi masalah terutama pada peringkat awal pelaksanaan,” katanya.
Sehubungan itu, Subromaniam menasihati pemilik perniagaan agar membaca dan memahami garis panduan berkaitan yang disediakan menerusi portal GST JKDM atau menghubungi pejabat kastam jika mereka memerlukan penjelasan lanjut.
Sementara itu Penolong Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Ir Jamaludin Non berkata rata-rata anggota persatuan itu telah memahami GST dan hampir separuh daripada anggotanya telah mendaftar selepas mengikuti beberapa siri ceramah berkenaan cukai itu.
“Kita ada hampir 20 ribu anggota persatuan seluruh negara meliputi kontraktor besar, sederhana dan kecil,” katanya.
Beliau berkata jangkaan mengenai peningkatan harga rumah antara tiga hingga empat peratus berikutan pelaksaan CBP mungkin berlaku disebabkan peningkatan kos membina rumah sebanyak 20 peratus disebabkan kenaikan harga bahan binaan seperti pasir, simen, konkrit, premium tanah dan sebagainya.
Bagaimanapun, Jamaludin berharap kerajaan akan melaksanakan cukai itu dengan telus dan bijaksana bagi memastikan sebarang impak yang mungkin timbul kelak tidak membebankan pengguna dan pembeli.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kulitkraf Sdn Bhd, Muzafar Shah Mustafa berkata pihaknya telah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi GST, selepas mendaftar cukai tersebut sejak tahun lepas.
“Persediaan semua dah ok, sistem perisian untuk GST sudah disediakan, software kami dah ‘updated’, harga semua kami dah ‘adjust’ ikut GST.
“Kami pada ketika ini hanya tunggu ‘implementation’ GST,” katanya.- BERNAMA