KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) antara tahun 2000 atau 2001.
Beliau mendakwa dimaklumkan perkara itu oleh Sirul Azhar semasa melawat bekas anggota UTK itu bersama ibu dan adik bekas anggota polis itu di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Sydney, Australia.
“Saya berkesempatan untuk berbual panjang dengan Sirul Azhar. Semenjak kecil dia diasuh dengan didikan agar menjadi seorang yang berani dan tidak takut melainkan Allah.
“Atas sifat keberanian ini jugalah yang melayakkannya menyertai pasukkan elit polis yang memerlukan mereka yang berhati kering untuk mengambil serta menjalankan arahan tanpa soalan,” dakwanya melalui Facebook rasmi beliau hari ini.
Mahfuz turut memaklumkan Sirul Azhar berkesempatan makan nasi dan rendang daging yang dimasak dan dibawa oleh ibunya dalam lawatan selama dua jam tersebut.
Sirul Azhar, 43, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan kerana didapati membunuh model sambilan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Bagaimanapun, dia tidak hadir mendengar keputusan kes itu kerana telah berada di Australia dan Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.- MYNEWSHUB.cc