KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diminta mengkaji semula kadar tambang baharu bagi teksi serta bas ekspres yang masing-masing berkuatkuasa serta merta dan 15 Mei depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi, menyifatkan kenaikan kadar baharu iaitu antara 20 hingga 67 peratus itu adalah tinggi.
Katanya, kenaikan harga tambang seperti diumumkan agensi itu semalam perlu mendapat pandangan dari semua pihak, bagi memastikan ia tidak membebankan pengguna.
“SPAD seharusnya mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), bagi mendapat satu keputusan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aziz yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelaskan, perlunya ada garis panduan dalam menentukan paras tambang berpatutan agar mampu dibayar semua golongan masyarakat.
“Kita tidak seharusnya membebankan rakyat terutama mereka yang menggunakan pengangkutan awam dalam urusan harian mereka kerana jika diteruskan, ini akan meningkatkan kos perbelanjaan mereka.
“Namun saya faham dengan masalah dihadapi syarikat pengangkutan awam dan pemilik teksi, bagaimanapun pihak kerajaan (juga) perlu untuk mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang itu,” katanya.
SPAD semalam mengumumkan kenaikan tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta, manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres.
Kenaikan tambang itu menurut SPAD dibuat berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.
Sejak semalam, media sosial terutama aplikasi Facebook, WhatsApp, Twitter serta Instagram dipenuhi rungutan pengguna yang majoritinya tidak bersetuju dengan langkah diambil SPAD, selain ada menyifatkan cuba mengambil kesempatan sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1 April ini. – BH Online