JOHOR BAHARU – Hasrat untuk bertanding jawatan nombor satu parti MIC Jun depan bukan mahu membalas dendam sebaliknya membawa perubahan baharu kepada parti, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Menolak dakwaan ia dibuat atas dasar kepentingan peribadi, beliau berkata keputusannya untuk bertanding bagi jawatan presiden parti itu, dibuat secara ikhlas tanpa mempunyai apa-apa kepentingan.
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata keputusan itu tidak dibuat secara terburu-buru sebaliknya telah mengambil kira pandangan dan
saranan sebahagian besar anggota parti yang mahu beliau bertanding.
“Selepas pilihan raya umum yang diadakan pada 2008, prestasi MIC kepada masyarakat India merudum. Banyak permasalahan berlaku sehingga anggota parti terkeliru dengan kepimpinan sedia ada.
“Jadi sebagai pemimpin nombor dua tertinggi dalam parti, anggota minta saya membuat pembaharuan dan tidak ada satu pun perkara di sini yang bersifat membalas dendam,” katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan kesemua ketua-ketua cawangan MIC Johor Selatan, di sini malam tadi.
Pada 15 Feb lepas, beliau, yang juga anggota Parlimen Segamat, telah mengumumkan hasratnya untuk mencabar Presiden parti, Datuk Seri G Palanivel, pada pemilihan semula parti yang diadakan Jun depan. – BERNAMA