Thursday, October 24, 2024

Creating liberating content

Ibu Maut, Bayi Cedera...

MIRI - Seorang ibu maut manakala bayi perempuannya berusia sebulan cedera parah apabila...

Video: Sebab Pemandu ‘Selfish’,...

DEGIL dan hanya mementingkan diri sendiri... Itu keadaan yang dapat digambarkan menerusi sebuah video,...

Kes Denggi Di Pulau...

GEORGE TOWN - Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatat penurunan sebanyak 11...

Kejam! Ditelanjang, Diseksa Beramai-Ramai

SEBUAH video menunjukkan tindakan sekumpulan pegawai melakukan penderaan ke atas seorang penghuni di...

Tadbir Urus Korporat Yang Baik Mampu Elak Konflik Kepentingan

KUALA LUMPUR – Pematuhan kepada tadbir urus korporat yang baik berupaya mencegah salah laku dalam operasi korporat yang berunsurkan konflik kepentingan, demikian kata Anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dr Chin Yew Sin.

Beliau percaya banyak syarikat tersenarai awam menghadapi masalah sedemikian apabila perilaku sesetengah pemegang saham utama terserlah.

“Sepatutnya apabila anda mematuhi tadbir urus korporat yang baik dalam setiap urus niaga, peluang isu-isu (meragukan) untuk timbul berkurangan.

“Tadbir urus korporat yang baik bermakna jemaah lembaga mengadakan perbincangan menyeluruh bersama-sama cadangan daripada akauntan atau penasihat bebas yang telah meneliti kebolehlaksanaan projek,” katanya yang diminta mengulas mengenai urus niaga korporat meragukan di sesetengah syarikat tersenarai awam yang didedahkan oleh pemegang saham minoriti mereka.

Beliau berkata setiap pengarah mesti mengisytiharkan kepentingannya dalam sebarang urus niaga.

“Beliau mesti berbuat demikian pada peringkat awal dan tidak mengundi mengenai perkara itu pada mesyuarat jemaah lembaga. Dengan cara itu kepentingan pemegang saham minoriti akan terjaga.

“Suruhanjaya Sekuriti sentiasa mempromosikan tadbir urus korporat. Atas sebab itulah ia meminta pengarah menghadiri kursus yang menasihatkan mereka agar berhati-hati tentang perdagangan dalaman atau urus niaga tidak wajar.

“Amat penting bagi syarikat tersenarai awam mempunyai ‘checks and balances’. Dalam amalan tadbir urus korporat yang baik semua keputusan mesti dibuat berdasarkan laporan-laporan bebas. Jika tidak banyak penipuan korporat boleh berlaku,” katanya.

Chin berkata pemegang saham minoriti lazimnya tiada kelebihan kerana tidak banyak maklumat yang boleh mereka peroleh.

“Hanya jemaah lembaga dan pengurusan yang ada akses kepada maklumat ini. Pemegang saham minoriti hanya tahu tentang syarikat tersenarai awam menerusi pengumuman yang ia buat.

“Saluran lain bagi pemegang saham minoriti mendapatkan maklumat ialah dengan bertanya pada AGM (mesyuarat agung tahunan) dan EGM ( mesyuarat agung luar biasa). Hanya ini platform mereka untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun, pada kebanyakan AGM dan EGM masa adalah suntuk dan anda tidak berpeluang bertanya banyak soalan,” katanya.

Mengulas laporan polis yang dibuat oleh pemegang saham minoriti terhadap Tanjung Offshore Bhd atas dakwaan salah laku, Chin berkata perkara itu boleh dielak.

Memetik kes pengambilalihan tiada kaitan perniagaan, beliau berkata ini sepatutnya mendapat kelulusan pemegang saham menerusi AGM atau EGM.


“Biasanya apabila syarikat terbabit dalam urus niaga baharu, syarikat perlu mendapat kelulusan pemegang saham menerusi EGM terutama jika hartanah bernilai lebih 25 peratus daripada aset syarikat,” katanya.

Chin berkata jemaah lembaga syarikat tidak boleh bertindak melangkaui kuasanya dalam banyak perkara.

“Sebab itu saya berpandangan isu Tanjung Offshore ini pengajaran yang baik kepada banyak syarikat,” katanya menambah pertelingkahan membabitkan pihak-pihak tertentu dalam syarikat berkenaan selepas berakhirnya urus niaga tersebut juga boleh dielak sekiranya isu terbabit dibincang dan diundi pada EGM.

Merujuk kepada pihak yang melaporkan urus niaga meragukan kepada SPRM, beliau berkata itu satu cara untuk mengawal salah laku dalam kalangan pemegang saham utama.

“Pemegang saham minoriti paling terjejas. Apabila pemegang saham membeli saham sesebuah syarikat, mereka mengharapkan syarikat itu diurus dengan baik dan telus. Kalau tidak pelaburan mereka akan membazir,” katanya.

Chin juga berpandangan jemaah lembaga tidak patut membuat sebarang keputusan semasa siasatan dijalankan.

“Sementara siasatan dijalankan, jemaah lembaga boleh menangguhkan sebarang keputusan besar bagi membina semula keyakinan orang awam,” katanya.

Sementara itu, seorang remisier yang berpengalaman 20 tahun, berkata seseorang biasanya boleh mengagak jika ada yang tidak kena dalam satu-satu urus niaga yang dilakukan dalam pasaran.

“Anda boleh agak perkara seperti bawah isytihar dan terlebih harga serta mendengar tentang urus niaga tertentu yang memberi manfaat kepada pemegang saham utama dengan mengorbankan pihak lain,” katanya yang mahu identitinya dirahsiakan.

Kerajaan merancang untuk meminda Akta SPRM bagi memasukkan peruntukan yang secara kolektif dikenali sebagai Undang-undang Liabliti Korporat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dilapor berkata di bawah peruntukan baharu itu, syarikat yang mempunyai dasar pencegahan rasuah akan diberi penghargaan dan yang terbabit rasuah akan dihukum.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pula dilapor berkata undang-undang baharu itu akan membantu mengubah etika dan budaya perniagaan negara ini.

Langkah SPRM itu dilihat oleh banyak pihak sebagai tindakan kerajaan untuk memperhebat usaha pencegahan rasuah dalam sektor korporat susulan sambutan tidak menggalakkan terhadap Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang setakat ini ditandatangani oleh kurang 50 syarikat daripada 906 yang tersenarai di Bursa Malaysia. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • SPRM

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori