KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ditahan pihak polis bagi membantu siasatan kes perhimpunan #KitaLawan.
Biro Komunikasi PKR dalam satu kenyataan memberitahu, Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.
“Tian Chua ditahan polis di IPD Dang Wangi pada pukul 11.53 pagi oleh Asisten Supritendan (ASP) Sabri.
“Beliau telah hadir ke IPD untuk dirakam percakapan, difahamkan berkaitan perhimpunan #KitaLawan. Tian Chua orang ke-11 ditahan berkait perhimpunan tersebut,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini beberapa pemimpin PKR termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi ditahan kerana kes sama sewaktu dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis.
Turut ditahan sebelum ini ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tetapi membabitkan ucapan beliau yang berbaur hasutan di Parlimen. – mynewshub.cc