TIGA personaliti sukan Perancis merupakan antara 10 mangsa korban helikopter yang terhempas  di Argentina, hari ini.
Dalam insiden membabitkan dua helikopter bertembung dan terhempas di wilayah La Rioja di utara-barat negara itu, lapan warga Perancis dan dua juruterbang Argentina dilaporkan terkorban.
Kesemua mangsa berada dalam dua helikopter terbabit yang sedang membuat rakaman Dropped iaitu sebuah rancangan televisyen berkonsepkan ‘survival’.
Kemalangan berlaku berdekatan dengan Villa Castelli, kira-kira 1170 kilometer dari Bueno Aires.
Tiga personaliti sukan yang terlibat adalah atlet sukan kapal layar jarak jauh Florence Arthaud, perenang Olimpik Camille Muffat dan peninju Olimpik Alexis Vastine.
Perkara ini disahkan pejabat Presiden Perancis Francois Hollande.
Salah seorang daripada peserta rancangan itu, bekas pemain bola sepak Arsenal dan Perancis, Sylvain Wiltord menzahirkan rasa sedih menerusi laman sosial Twitternya.
Luahannya yang berbunyi ‘Saya sedih untuk rakan-rakan saya, saya menggeletar, saya terkejut, saya tidak mahu berkata apa-apa’ itu serta merta mendapat ribuan tweet semula.
Difahamkan, punca kejadian masih disiasat kerana cuaca di kawasan pergunungan di tempat kejadian pada ketika itu dikatakan sangat baik.
“Sememangnya kecelakaan yang tidak dijangka berlaku ini amat menyedihkan banyak pihak,”‘ komen wakil produksi rancangan TV tersebut.
– MYNEWSHUB.CC