Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Fikirlah, Apa Faedah Jadi...

"ORANG cakap, maknyah tidak boleh berubah, tetapi sebenarnya boleh berubah jika ada usaha....

Mayat Bayi Bertali Pusat...

GEORGE TOWN - Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan dalam kotak...

Tebus Baucar Perlindungan Tenang...

KUALA LUMPUR : Penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kategori isi rumah, bujang dan...

Ashraf Sinclair Meninggal Dunia...

JAKARTA - Pelakon, Ashraf Sinclair, 40, suami kepada penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia,...

Ubah Persepsi Negatif Terhadap M’kamah Syariah

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR — Sehingga kini, masyarakat khususnya umat
Islam mempunyai persepsi negatif terhadap Mahkamah Syariah, yang didakwa sering
kali mengambil masa lama serta tidak tegas dalam mengendali dan menyelesaikan
sesebuah kes terutama isu tuntutan nafkah dan penceraian.

Tidak menolak hal berkenaan, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah
Selangor Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata persepsi negatif itu berpunca daripada
pelbagai faktor, namun kurang diberi perhatian dan penjelasan yang sewajarnya.

Justeru, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat
Islam dan Mahkamah Syariah sendiri untuk mengubah persepsi berkenaan agar
pandangan negatif masyarakat dapat ditangani.

PERSEPSI NEGATIF

“Persepsi negatif ini boleh diubah sekiranya pihak mahkamah sendiri
mengambil pendekatan menjelaskan perkara tersebut diiringi dengan fakta-fakta
berkaitan.

“Institusi kehakiman syariah juga adalah milik masyarakat khususnya yang
beragama Islam dan beriman. Justeru, tanggungjawab mempertahankan institusi
ini sebenarnya bukan hanya terletak pada hakim dan peguam sahaja namun menjadi
tanggungjawab kita (umat Islam) semua,” katanya kepada Bernama.

Mohd Naim merujuk kenyataan Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan
Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha
Mohamed dalam laporan berita baru-baru ini, yang menyebut Mahkamah Syariah perlu
bertindak lebih tegas dan adil dalam mengendalikan kes-kes berkaitan tuntutan
nafkah, khususnya melibatkan wanita yang telah bercerai dan mempunyai anak.

Dalam laporan itu, Ahmad Martadha turut berkata antara kelemahan sistem
Mahkamah Syariah pada hari ini ialah kes bekas suami enggan membayar nafkah
kepada bekas isteri dan anak-anak pada waktu dan kadar yang ditetapkan.

TERIKAT UNDANG-UNDANG

Mohd Na’im berkata di bawah Undang-undang Keluarga Islam Negeri,
terdapat hak-hak lain yang sebenarnya boleh dituntut namun perkara yang paling
hampir dengan masyarakat ialah isu tuntutan nafkah dan cerai.

Beliau berkata antara undang-undang yang melibatkan isu berkaitan nafkah
dan cerai ialah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Enakmen
Undang-Undang Kekeluargaan Islam Negeri Selangor 2003, Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 dan Enakmen Keterangan Syariah Negeri
Selangor 2003.

Katanya Mahkamah Syariah hanyalah pelaksana kepada undang-undang selain
Hakim Mahkamah Syariah tidak terlibat dalam proses penggubalan undang-undang
berkenaan.

“Hakim-hakim apabila dilantik mereka akan buat perjanjian untuk melaksanakan
undang-undang tersebut, itu aku janji kita sebagai hakim. Begitu juga dengan
Hakim Mahkamah Sivil apabila dilantik, mereka akan buat aku janji untuk
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan semua undang-undang yang telah
digubal,” katanya.

Timbul persoalan tidak bolehkah hakim-hakim membantu memudahkan perkara
tersebut?

Menjawab persoalan itu, Mohd Na’im berkata hakim-hakim terikat dengan
undang-undang khususnya berkaitan peraturan, tatacara dan keterangan yang di
peruntukkan dalam undang-undang Keterangan Islam dan Undang-Undang Tatacara Mal
sedia ada, seperti keperluan ‘pliding’ mengikut syarat-syarat, tempoh masa
penyampaian dokumen-dokumen mahkamah, pemeriksaan saksi dan lain-lain.

“Ini semua bukan mahkamah yang buat tetapi ada dalam undang-undang dan
apabila sesuatu kes difailkan ke mahkamah sebagai contoh penceraian atau nafkah,
maka mahkamah terikat untuk mematuhi undang-undang tersebut.

“Perlu diingat, urusan mahkamah bukan berbentuk pentadbiran tetapi berbentuk
kehakiman dan perundangan,” katanya.

Mohd Na’im menegaskan selagi undang-undang berkenaan digunapakai dan
tidak dipinda, maka peraturan tersebutlah yang perlu dipatuhi oleh para hakim.

LAMBAT DAN TIDAK TEGAS

Mengapa sesuatu kes mengambil masa lama untuk diselesaikan sehingga
mahkamah dianggap sebagai tidak tegas dan lambat?

Menjelaskan hal itu, Mohd Na’im berkata dalam situasi biasa seperti kes
permohonan pembubaran perkahwinan atau tuntutan nafkah, minimum pemain (pihak
terlibat) hanya akan ada tiga orang sahaja iaitu hakim, isteri dan suami, namun
dalam situasi berbeza, si isteri atau suami akan diwakili peguam masing-masing
sekaligus menyebabkan ‘jumlah pemain’ bertambah.


“Sebagai contoh, isteri memohon satu perintah di bawah Seksyen 53 (1)(h)
Enakmen Undang-Undang Kekeluargaan Islam Selangor 2003 iaitu pembubaran
perkahwinan disebabkan penderaan yang dilakukan suami atau juga disebut sebagai
permohonan fasakh nikah.

“Dalam situasi biasa hanya akan ada isteri, suami dan hakim. Namun, situasi
berbeza apabila isteri melantik peguam, suami (defendan) juga melantik peguam
dan sekarang dah tambah lagi pemain. Apabila masuk perbicaraan, si isteri akan
bawa beberapa orang saksi untuk buktikan suami menderanya dan si suami pula akan
bawa saksi untuk pertahankan dirinya,” katanya.

Mohd Na’im berkata akibatnya, jumlah pemain dalam kes tersebut bertambah.
Melihat daripada segi urusan pentadbiran pertambahan ini tidak berlaku, namun
dalam urusan kehakiman sebaliknya.

Dalam masa sama, beliau turut mengulas mengenai Enakmen Keterangan
Syariah Negeri Selangor 2003 yang menyebut tentang peruntukan beban mengemukakan
bukti keterangan yang diperlukan mahkamah seperti yang terkandung dalam Seksyen
87, iaitu beban bukti terletak kepada orang yang mendakwa.

Katanya seperti kes isteri menuntut cerai atas alasan didera oleh suami,
dalam konteks pembuktian si isteri perlu membuktikan kepada hakim bahawa beliau
benar-benar didera setelah hakim mendengar keterangan daripada semua pihak yang
terlibat.

“Sebagai seorang hakim, saya tidak boleh membuat keputusan berdasarkan
sebelah pihak sebaliknya perlu mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak.

“Keterangan ini melalui proses yang disebut sebagai proses pemeriksaan
saksi seperti yang termaktub dalam Enakmen Keterangan Syariah Negeri Selangor
2003. Enakmen inilah yang mengikat hakim-hakim Mahkamah Syariah sama ada suka
atau pun tidak,” katanya.

PROSES MAHKAMAH
Mohd Na’im menjelaskan terdapat tiga proses pemeriksaan yang perlu
dilalui oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan di Mahkamah iaitu
pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula.

“Contohnya seorang isteri memberi keterangan utama dengan memberikan
fakta-fakta berkaitan sepanjang 30 tahun tempoh perkahwinannya dengan suami
(defendan) dan bila habis cerita suami, peguam suami akan menyoal balas isteri,
kemudian peguam bagi pihak isteri akan soal semula. Keterangan ini tidak mungkin
boleh selesai dalam masa sehari sebab nak bercerita apa yang berlaku dalam
tempoh 30 tahun.

“Mahkamah dengar tidak kurang 30 kes setiap hari termasuklah sebutan kes,
maknanya ada 30 pasangan setiap hari. Dalam situasi jumlah kes yang banyak,
hakim tidak dapat menangguh pendengaran kes fasakh isteri tadi pada tarikh
terdekat disebabkan jadual mahkamah yang padat pada hari berikutnya,” katanya.

Namun begitu, Mohd Na’im berkata proses mahkamah akan menjadi mudah
sekiranya pihak yang terlibat mengambil pendekatan untuk bersetuju atau bertolak
ansur terhadap tuntutan yang dibuat.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Bagaimana jika defendan tidak hadir ke mahkamah dan apakah tindakan yang
dikenakan ke atasnya?

Mohd Na’im berkata sekiranya defendan (suami), (contoh kes pukul isteri)
tidak hadir ke mahkamah, ia sememangnya mendatangkan masalah namun mahkamah
boleh menggunakan dua alternatif bagi mengendalikan kes tersebut.

“Pertama, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 121 (1) (b) dan (c) Enakmen
Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2003 untuk mahkamah meneruskan perbicaraan tanpa
kehadiran suami dengan isteri mendakwa dia dipukul suami. Namun, mahkamah perlu
memastikan saman telah sempurna diserah kepada suami, kemudian barulah mahkamah
membenarkan perbicaraan dijalankan dengan isteri terlebih dahulu perlu melakukan
‘sumpah istizhar’.

“Atau, Seksyen 51 Enakmen Tatacara Mal, Mahkamah Syariah boleh
mengeluarkan waran tangkap kepada suami… yang ini bermakna kes-kes tertangguh
sebab ketidakhadiran suami,” katanya.

Mohd Na’im berkata dalam konteks itu tidak timbul isu Mahkamah Syariah
menangguhkan pendengaran kes isteri tadi sehinggalah suaminya hadir ke mahkamah.

Beliau berkata terdapat juga kes di mana suami yang hadir ke mahkamah
untuk perbicaraan yang pertama namun pada perbicaraan kedua suami tidak hadir,
sebaliknya hanya datang mengemukakan sijil sakit di mahkamah atau menelefon
mahkamah memaklumkan tentang ketidakhadiran.

“Begitu juga jika dia diwakili peguam dan peguamnya tidak dapat hadir
dan ada saksi yang tidak hadir akibat demam maka akan ada penangguhan. Mahkamah
tidak boleh meneruskan perbicaraan kerana kes tersebut sudah melibatkan ramai
pemain dan sekali mereka dah terlibat, mereka perlu hadir pada perbicaraan
seterusnya,” katanya.– BERNAMA

 

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori