KUCHING  Seorang wanita ditemui dalam keadaan bogel dengan tangan dan kakinya diikat dengan tali di dalam sebuah hotel di JalanGreen Hill di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui pada 11.30 pagi oleh pekerja hotel berkenaan dalam keadaan terbaring atas katil ditutupi selimut dan terdapat kesan lebam di lehernya
akibat dijerut.
Beliau berkata hasil siasatan awal, polis mendapati mangsa warga tempatan yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya mendaftar masuk ke bilik berkenaan pada Rabu lalu.
“Identiti mangsa telah diperoleh selepas polis memeriksa setiap kenderaan yang diletakkan di belakang hotel berkenaan.
“Polis telah pergi ke rumah setiap pemilik kenderaan dan secara kebetulan salah satu kereta tersebut adalah milik mangsa, dan telah dapat berjumpa dengan suami mangsa di alamat tersebut” katanya di sini, hari ini.
Roslan Bek berkata siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata dan mayat wanita itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-BERNAMA