LANGKAWI – Dorongan berterusan dari dua wanita istimewa buat seorang pelajar Jepun yang bersekolah di sini membolehkannya mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.
Saaya Harada, 18, yang hadir mengambil slip keputusan SPMnya berbaju kurung merah jambu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang di sini, memperoleh 9A untuk berdiri sebaris dengan empat pelajar tempatan lain yang turut cemerlang dalam peperiksaan itu di pulau ini.
Dia yang begitu fasih berbahasa Melayu berkata ibunya, Mariko Harada dan pengetua SMK Kedawang, Norini Wan Awang yang mesra dipanggil ‘Bonda’ dalam kalangan pelajar sekolah itu merupakan pembakar semangat untuknya membuat yang terbaik semasa peperiksaan itu.
“Dalam bahasa Jepun, ibu adalah ‘Okasan’ dan semangat saya datang daripadanya. Di rumah dia selalu memberi motivasi kepada saya dan di sekolah, Bonda dan guru-guru saya yang lain sentiasa memberikan galakan dan menasihati supaya tidak putus asa sepanjang saya belajar di sini,” katanya.
Dalam peperiksaan itu, Saaya yang hanya mulai didedahkan dengan sistem pendidikan Malaysia tujuh tahun lepas memperoleh tahap A Cemerlang Tertinggi (A+) dalam subjek Matematik, A Cemerlang Tinggi (A) dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi serta A Cemerlang (A-) dalam Pendidikan Moral dan Fizik.
Menceritakan pengalamannya belajar di sini, Saaya berkata dia berumur 10 tahun sewaktu tiba di Langkawi bersama-sama keluarganya yang mengikut bapanya seorang ahli perniagaan dalam tahun 2007 dan langsung tidak mempunyai asas dalam Bahasa Melayu ketika itu.
Namun beliau bertekad untuk mempelajari bahasa dan budaya setempat di sini dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen dan turut dibantu ayahnya, Tomoharu Miki yang pernah mengambil kursus Bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua semasa menuntut di sebuah universiti di Jepun.
Saaya memperoleh 4A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didudukinya dalam tahun 2009 dan mulai menyerlahkan kecemerlangannya apabila memperolehi 7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam tahun 2012.
“Pada mula-mulanya agak sukar tapi saya bernasib baik kerana saya mempelajarinya pada umur yang muda dan mudah untuk menyerapkan apa yang dipelajari,” katanya.
Ditanya apakah rancangannya selepas mencapai keputusan cemerlang itu, Saaya yang meminati bidang kimia itu berkata beliau bercadang untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang kedoktoran dan berharap dapat melakukannya di Amerika Syarikat.
Sementara itu, Norini menganggap pencapaian cemerlang Saaya sebagai anugerah besar dari anak didiknya yang berasal dari negara matahari terbit itu kepadanya dan menjulang nama SMK Kedawang.
“Ini merupakan doa yang dimakbulkan dan hadiah kepada Bonda. Kejayaannya memang sudah dijangkakan sebab beliau adalah pelajar yang cemerlang sejak dari tingkatan satu lagi dan pada (peperiksaan) percubaan (SPM) pun beliau adalah pelajar ranking cemerlang dalam daerah ini,” katanya.
Norini turut memuji sikap Saaya yang pandai bergaul dengan pelajar-pelajar tempatan yang lain sejak mula-mula bersekolah di sini yang memudahkannya untuk menyesuaikan diri dan menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Katanya mendidik Saaya merupakan satu pengalaman bagi beliau dan guru-guru lain yang terlibat kerana remaja Jepun ini memiliki sikap dan kesungguhan yang jarang-jarang ada dalam kalangan pelajar tempatan.
“Bila kita memberi dorongan kepadanya, dia akan ambil sebagai cabaran, Kalau tidak boleh, dia akan terus mencuba sehingga boleh dilakukan,” katanya.
– BERNAMA