PENYANYI terkenal Ziana Zain mengatakan dia masih lagi mengekalkan cara didikan ibu bapa pada zaman dahulu yang merotan anak-anak sekiranya mereka melakukan kesilapan dan kesalahan.
Menurutnya, perkara itu dibuat kerana ingin mendidik keempat-empat anaknya agar mereka menjadi manusia berguna di masa hadapan.
“Dalam mendidik anak, kita memang kena marahkan mereka untuk kebaikan. Tetapi janganlah marah dengan kata-kata yang tidak baik, sebaliknya marahkan mereka dengan kata-kata yang memberi nasihat. Selain itu, saya juga masih merotan anak-anak. Mungkin ada yang tidak setuju dengan cara merotan tetapi terpulang kepada karektor anak-anak. Lain budak, lain caranya,” katanya memetik forum hiburan.
Ziana mempunyai empat cahaya mata, yang sulung merupakan pasangan kembar lelaki, Aiman dan Airel, Ammar dan Nour Kaseh.
Selain itu, Ziana juga berkongsi kisah mengenai pak ngah anak-anaknya iaitu penyanyi Anuar Zain yang selalu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada anak-anaknya.
“Pak Ngah dia kalau ada masa memang akan luangkan dengan anak-anak saya. Selalunya dia akan ‘umpan’ anak-anak dengan makanan. Ada sahaja makanan yang dia akan bawa untuk anak-anak saya. Pak Ngah dia selalu ajar tentang displin dan cara hormatkan orang lain. Saya boleh nampak anak-anak saya ikut apa yang diajar,” katanya lagi.
Penyanyi berusia 47 tahun itu juga mendedahkan dua anaknya iaitu Ammar dan Nour Kaseh banyak mengikut perangainya yang gemar bergambar sementara dua yang sulung tidak begitu gemar bergambar selain tidak begitu suka dengan publisiti yang diterima.
“Anak sulung saya, Aiman dengan Ariel misalnya tidak suka dengan kamera. Memang susah hendak suruh mereka beraksi depan kamera. Mereka juga tidak berapa suka dengan publisiti. Berbeza dengan yang nombor dua, Ammar dan anak bongsu, Nour Kaseh, perangai mereka memang sama dengan saya,” kata penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Madah Berhelah ini. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=xfSASyTtCEk