SEREMBAN – Jabatan Imigresen Negeri Sembilan memberkas 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Ikrar di Nilai 3 dan Seremban semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohd Nor Alfaiza Riza berkata dalam operasi enam jam mulai pukul 3 petang itu, pihaknya menahan lapan lelaki iaitu empat lelaki warga Pakistan dan empat lelaki warga Bangladesh di Nilai 3 manakala lima warga Thailand iaitu dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, ditahan di Seremban.
“Mereka yang ditahan berumur antara tiga dan 40 tahun. Kesemua warga asing yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya di sini, hari ini.
Beliau yang mengetuai operasi itu berkata seramai 19 warga asing diperiksa di Nilai 3 dan sembilan di Seremban.
Katanya sebanyak sembilan buah premis telah diperiksa di Nilai 3 serta Seremban yang mana premis terbabit didiami warga asing berkenaan dan juga digunakan untuk perniagaan.
“Pemeriksaan ke atas premis perniagaan terutama di Nilai 3 akan dijalankan secara berterusan dan (Jabatan Imigresen) tidak berkompromi dengan mereka yang melanggar peraturan. Sepanjang pemeriksaan itu, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Katanya kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut. – BERNAMA