SUNGAI PETANI – Jabatan Imigresen Kedah menahan 173 pendatang asing warga Myanmar termasuk seorang bayi berumur satu bulan dalam ‘Ops Bersepadu’ di sekitar Sungai Pasir di sini awal hari ini.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata, sebanyak 80 lelaki, 46 wanita, 27 kanak-kanak perempuan dan 20 kanak-kanak lelaki warga negara itu berumur satu bulan hingga 75 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Empat daripada yang ditahan itu akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara kerana memiliki kad pengenalan Malaysia sementara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, 117 anggota dan pegawai terlibat menjalankan pemeriksaan terhadap 195 warga Myanmar di 34 buah rumah di Kampung Bakar Bata dan Kampung Masjid, dengan 173 daripada mereka telah ditahan.
Kesemua warganegara Myanmar itu kata Mohamad Yusri, melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tiada dokumen dan pas yang sah untuk tinggal di negara ini.
Beliau berkata kesemua pendatang asing Myanmar itu tidak sedar tentang kehadiran anggota penguat kuasa ketika operasi dijalankan kerana sedang nyenyak tidur.
Kebanyakkan pendatang asing warga Myanmar yang ditahan itu bekerja sendiri, menjadi buruh binaan serta bekerja di salah sebuah syarikat konsesi pembersihan tempatan, katanya.
Pemeriksaan di kawasan terbabit dilakukan atas aduan orang awam yang bimbang tentang kehadiran pendatang asing yang semakin ramai di kawasan kampung itu sejak 10 tahun lalu.- BERNAMA