KUALA LUMPUR – Dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF) kini berada di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebagai persediaan untuk membawa pulang lebih banyak rakyat Malaysia dari Yaman yang sedang bergolak, kata Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkefli Mohd Zin hari ini.
Beliau berkata dua pesawat Hercules C-130, bersama-sama 43 anggota berlepas ke UAE malam tadi dari pangkalan udara TUDM di Subang.
“Pesawat pertama berlepas pada 8.20 malam dan pesawat kedua pada 8.55 malam. Kami (Angkatan Tentera Malaysia) telah membuat perancangan dan penyelarasan bagi usaha pemindahan itu sejak bermulanya pergolakan di Yaman tetapi masih menunggumasa sesuai untuk berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Kumpulan pertama 154 rakyat Malaysia telah diterbangkan dari Yaman dan tiba di tanah air semalam.
“Berikutan situasi di Yaman tidak bertambah baik, kami menasihatkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa masanya tepat untuk mengambil langkah ini (membawa pulang rakyat Malaysia),” katanya.
Zulkefli berkata perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia itumendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya terdapat lebih 500 rakyat Malaysia di Yaman yang sedang menungguuntuk dibawa keluar dari negara itu.
“Keselamatan warganegara kita adalah keutamaan kami. Oleh itu, kami menggesa rakyat Malaysia di Yaman agar memberi kerjasama penuh dan sokongan terhadap usaha kami dalam memastikan mereka pulang dengan selamat ke Malaysia,” katanya. – BERNAMA
https://youtu.be/iSJFIms8crw