BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 36,611 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga semalam berbanding 27,177 kes dalam tempoh sama tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Bagaimanapun, katanya kes denggi telah mula menunjukkan penurunan apabila 1,600 kes dicatatkan dalam tempoh dua bulan ini iaitu pada Mac dan April berbanding 3,500 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata dalam tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 119 kes kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 94 kematian untuk tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada program ‘Jom Ganyang Aedes’ dengan melawat dari rumah ke rumah pesakit yang pernah menghidap denggi di Taman Guar Perahu Indah, dekat sini hari ini.
Dr Hilmi berkata Selangor masih kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes denggi diikuti Perak, Johor dan Pulau Pinang.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Epidemiologi, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah, Dr Mohamad Azfar Zainuddin berkata melalui program lawatan itu, pegawai perubatan akan hadir ke rumah pesakit yang pernah menghidap denggi dan memberi penerangan mengenai pencegahan.
Katanya, kebanyakan mereka yang pernah ‘merasai'” wabak denggi itu akan sentiasa berwaspada dan memastikan ianya tidak berulang.
Ditanya mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap demam denggi tersebut, beliau berkata rata-rata umum menyedari dan mengetahui akan bahaya wabak denggi bagaimanapun ia tidak disusuli dengan tindakan pencegahan wabak itu.
“Pelbagai usaha dan kempen telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk menangani wabak denggi ini tetapi ia akhirnya terserah kepada individu itu untuk mengelaknya,” katanya. – BERNAMA