BALIK PULAU – Seramai 500 penduduk Kampung Kongsi di sini menerima saringan pemeriksaan percuma menerusi Program Ziarah Kasih Sayang anjuran Institut Latihan Kementerian Kesihatan hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata seramai 150 jururawat pelatih termasuk pegawai pembantu kesihatan dari Kolej Kejururawatan Pulau Pinang dan Bukit Mertajam mengambil bahagian dalam program sehari itu.
“Program ini umpama sesi ulang kaji untuk memberi pendedahan kepada jururawat pelatih dengan tugasan bersama masyarakat selain membantu mereka memantapkan kemahiran yang dipelajari di kolej,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Aktiviti lawatan rumah ke rumah itu dapat membantu mendekatkan Kementerian Kesihatan dengan masyarakat selain mendidik penduduk luar bandar mengenai amalan penjagaan kesihatan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata peserta turut bergotong-royong membersihkan tiga rumah warga emas uzur yang tinggal berseorangan di kampung berkenaan.
Program itu bermula sejak tahun lepas di Pulau Pinang dan akan diperluaskan ke seluruh negara dengan setiap penuntut di bawah institut latihan Kementerian Kesihatan diwajibkan mengikutinya sekurang-kurangnya sekali setahun. – BERNAMA