Bukit Tagar – Tujuh pelancong warga Thailand parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 417.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika dua van yang membawa 30 penumpang dalam perjalanan pulang ke Danok, Thailand selepas bercuti tiga hari di negara ini.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler muatan batu terbabas dan merintangi jalan sehingga menutup semua lorong.
Van pertama sempat mengelak namun melanggar lori di depannya namun van kedua yang mengekori di belakang gagal mengelak treler berkenaan lalu melanggar bahagian belakang treler.
Seorang daripada pemandu yang dikenali sebagai Makming, 42, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas ketika suasana gelap dan berkabus.
“Ketika itu suasana gelap, tiba-tiba saja saya nampak lori di depan dan tak sempat elak.
“Saya tidak mampu buat apa-apa selepas terlanggar belakang lori itu,” katanya.
Makming yang mengalami kecederaan pada muka dan patah kaki kanan dikejarkan ke Hospital Slim River bersama enam mangsa lain. – myMetro Online