PORT DICKSON – Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan sembilan lelaki pendatang asing dalam ‘Ops Ikrar’ di pantai Teluk Kemang, di sini, semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Imigresen negeri Azil Ashazly Abdul Aziz berkata mereka terdiri daripada tujuh warga Myanmar dan masing masing seorang warga Indonesia dan Singapura berumur antara 22 dan 55 tahun.
“Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Per. 39(b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka ditahan dalam pemeriksaan rambang semasa mini pesta nyanyian dan aktiviti pantai yang dianjurkan di kawasan itu,” katanya di sini, hari ini.
Katanya seorang warga Myanmar dan Singapura yang ditahan itu disyaki penganjur pesta berkenaan dalam operasi lebih tiga jam yang disertai 14 pegawai imigresen negeri bermula 3.30 petang semalam.
Katanya, kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut. – BERNAMA