DAMANSARA: Pelakon yang semakin mendapat perhatian peminat drama tempatan, Hafreez Adam mendedahkan terdapat segelintir peniaga atas talian Instagram (IG) menyalahgunakan gambar lamanya dengan menjadikannya sebagai testimoni produk jualan mereka.
Menurut pelakon berusia 25 tahun ini, dia berasa terpanggil untuk memperjelaskan tindakan mereka yang ternyata salah dalam menjalankan perniagaan.
“Ada produk IG gunakan gambar saya sebagai testimoni mereka, seolah-olah saya menggunakan produk jualan mereka.
“Pada pendapat saya, saya ok, cuma pada saya tidak elok gambar saya disalah guna.
“Saya tak rasa nak terus saman, saya just nak beri teguran.
“Boleh nak jadikan saya punya post tu sebagai motivasi, tapi nak gunakan sebagai testimoni tak eloklah (sebab tak gunakan produk mereka). Seharusnya, mereka meniaga dengan cara jujur dan halal,” katanya ketika ditemui Mynewshub pada Majlis Pelancaran Maulid Akbar Selawat Perdana 1436H di sini semalam.
Sebelum ini, Hafreez pernah berkongsi di laman blognya mengenai masalah kulit di bahagian muka yang dialaminya ketika berusia belasan tahun.
Hafreez Adam – Dulu Dicaci Kerana Serabai, Kini Digilai
Menurutnya, perkara itu terjadi adalah disebabkan masalah hormon yang dihidapinya pada ketika itu.
“Sebenarnya benda tu ada dalam blog peribadi saya, saya kongsi untuk beri motivasi kepada orang untuk tak mudah mengalah dan sentiasa yakin dengan diri sendiri.
“Benda (masalah jerawat yang teruk) itu terjadi saya rasa sebab hormon saja. Waktu itu saya remaja lagi dalam 16 ke 18 tahun,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Hafreez menyatakan dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Akasia Hati Perempuan yang dibintanginya bersama Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad.
Hati Perempuan yang masih lagi ditayangkan di TV3 pada jam 7 malam menyaksikan Hafreez memegang peranan sebagai Daniel Idrus, bekas kekasih kepada Yuhanis lakonan Mia Ahmad yang mahu merebut kembali cinta hatinya itu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR