IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning dari DAP, Wong Kah Woh, diperintahkan keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi ini selepas mengganggu dan enggan bekerjasama pada sesi perbahasan hari kedua Sidang DUN Perak di sini.
Perintah dikeluarkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Seri S K Devamany berdasarkan Perintah Tetap 44 (2) kira-kira jam 11.40 pagi.
Devamany berkata, Kah Woh tidak dibenarkan menghadiri persidangan itu sepanjang hari ini dan akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.
Kah Woh sebelum itu meminta laluan untuk mencelah ketika Salbiah Mohamed (BN-Temengor) sedang mengambil bahagian pada sesi perbahasan.
Salbiah bagaimanapun tidak memberikan laluan itu menyebabkan Kah Woh tidak berpuas hati dan terus berdiri mengganggu ucapan penyokong kerajaan itu.
Devamany pula berkata, beliau sudah melihat dan memberi peringatan kepada Kah Woh sejak semalam dan nasihat itu tidak didengari.
Kah Woh kemudian dibawa Bentara keluar dewan kira-kira jam 11.45 pagi. – Berita Harian Online