PENYANYI muda, Aizat Amdan menganggap kenyataan yang dibuat oleh Abam Bocey di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) adalah satu penipuan pada diri sendiri.
“Gemuk is Awesome” antara ungkapan yang dibuat oleh Abam sewaktu merangkul anugerah Pelawak Popular di ABPBH 2014.
Ianya bukan sahaja memberi reaksi kurang setuju daripada pakar perunding kecergasan, Kevin Zahari, namun dikritik oleh Aizat.
“Saya juga pernah mempunyai berat badan berlebihan suatu ketika dahulu dan ungkapan itu merupakan penipuan diri sendiri kerana setiap orang harus mengamalkan gaya hidup sihat.
“Ini merupakan mentaliti masyarakat Malaysia yang harus diubah kerana jika perkara ini tidak dibendung ia akan menjadi masalah yang besar pada masa hadapan.
“Jadi tidak hairanlah Malaysia kini menjadi antara negara yang mempunyai ramai orang mengalami masalah obesiti,” kata Aizat kepada portal Mstar Online.
Aizat turut mengakui proses untuk menurunkan berat badan bukannya mudah seperti yang disangka dan perlu berusaha keras untuk mendapat tubuh badan yang ideal.
“Dulu saya pernah mempunyai berat badan 113 kilogram dan saya mengakui tidak senang untuk menurunkan berat badan menjadi ideal kerana senaman yang dilakukan bukanlah mudah seperti orang sangka.
“Sejujurnya, tiada jalan pintas untuk menurunkan berat badan ini jadi seseorang itu harus bekerja keras untuk mendapatkannya dan mereka perlu yakin dengan apa yang dilakukan,” ujarnya.
– MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=FpTRtZernbw